Menurut Presiden YA1M, Datuk DJ Dave, yayasan berkenaan telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penjualan plat nombor siri khas ini.

“Idea untuk menjual plat nombor ini mendapat kelulusan daripada JPJ pada bulan Ogos lalu. Penjualan ini bagi mengumpul dana dan disalurkan kepada anak seni yang sakit, kematian dan melebihi usia 60 tahun.

“Selain itu, ia juga sempena genap lima tahun penubuhan YA1M. Kami sentiasa mencari peluang untuk menambah dana bagi membantu artis Malaysia.

“Hasil jualan akan digunakan sepenuhnya bagi membantu artis kita yang memerlukan dan bukannya untuknya kegunaan yayasan,” katanya ketika majlis sidang media pra perasmian plat nombor A1M di Tune Hotel PWTC, di sini hari ini.

Nombor plat khas ini bermula dari nombor A1M 1 hingga A1M 1000. Tender untuk membida harga plat nombor A1M 1 dibuka pada hari ini hingga 2 Oktober akan datang.

Borang pembelian plat nombor ini boleh didapati di laman sesawang wwe.plata1m.com.my atau di Tune Hotel PWTC, Jalan Putra. Pemenang terpilih berpeluang menghadiri majlis pelancaran dan makan malam istimewa bersama artis popular tanahair.

Jualan dan pemasaran plat nombor khas ini dikendalikan secara eksklusif oleh D’City Planners Sdn. Bhd. yang dilantik oleh YA1M. – UTUSAN ONLINE.